Wednesday, January 3, 2007

RAHSIA PEMBENTUKKAN KELUARGA SUPER - 3

RAHSIA PEMBENTUKKAN KELUARGA SUPER

Mencintai Tuhan Kunci Perpaduan

Ramai yang memandang sinis terhadap poligami. Ia dilihat sebagai suatu 'kudis' yang menjijikan. Di mana-mana saja isu poligami ini dinegatifkan Di dalam ceramah, forum, perhimpunan-perhimpunan, ia dipersendakan. Tidak ada suatu usaha pun dibuat untuk menengahkan isu poligami di sudut ilmunya, apalagi di sudut praktikalnya. Bagaimana mungkin poligami yang buruk pada pandangan umum itu hendak direalisasikan sehingga wujud di dalamnya keadilan, pembelaan, perpaduan dan keindahan? Oleh itu mari kita tinjau pandangan , orang yang berjaya mewujudkan sebuah keluarga poligami yang layak menjadi 'role model' kepada masyarakat, sekaligus membuktikan poligami itu praktikal dan ada keindahannya tetapi dengan syarat individu -individu di dalamnya mencintai Tuhan.

Soalan : Apakah pandangan Ustaz terhadap poligami?

Ustaz : Poligami sebenarnya dibenarkan oleh syariat. Bila syariat Allah membenarkan, tentulah ada hikmah disebaliknya. Allah Maha Mengetahui, lebih daripada makhluk itu sendiri. Untuk itu mari kita renung sejenak hakikat poligami ini. Untuk apa lelaki berpoligami ? Di antara sebab- sebab yang dibenarkan ialah untuk meramaikan zuriat kerana daripada zuriatlah berkembang biaknya generasi-generasi yang baik, yang kita didik mereka dari awal supaya kenal dan cinta kepada Tuhan. Poligami juga bertujuan membela janda-janda, andartu dan lebihan wanita. Akhir zaman ini dunia dikuasai oleh wanita. Wanita lebih berpengaruh daripada lelaki sedangkan dalam waktu yang sama, kes-kes perceraian meningkat, secara tidak langsung meramaikan ibu-ibu tunggal. Yang sudah berusia, ingin berumahtangga tapi tidak dapat. Itu pun perlu difikirkan. Jadi alternatif terbaiknya ialah poligami. Ia dibenarkan oleh syariat sekalipun ramai menentangnya. Atas dasar syariat, maka poligami itu dikira 'menyelamatkan' kaum wanita itu sendiri. Selain daripada itu, poligami dapat menyelesaikan masalah suami sewaktu isterinya mengandung, bersalin dan lain-lain keuzuran. Kedengaran seperti menyebelahi kaum lelaki. Tetapi bagi wanita itulah dikatakan pengorbanan perasaan. Mengorbankan perasaan adalah suatu jihad, iaitu jihad melawan nafsu. Di sinilah wanita terjebak, 'frust, kecewa dan sebagainya itu bukan disebabkan poligami tetapi kerana lemahnya iman. Siapa juga yang tidak kuat iman, tidak cinta, tidak takut kepada Tuhan, akan hilang bahagia dengan apa saja bentuk ujian.

Soalan:Kalau bagi lelaki, tentu dia rasa poligami suatu yang seronok, tapi tidak bagi wanita. Jadi di mana indahnya poligami?

Ustaz :Keindahan dalam berpoligami itu ialah apabila kita mencintai Tuhan. Ukuran keindahan dinilai dari dua sudut, iaitu indah pada kacamata Islam, keduanya pada kacamata manusia. Jika keindahan itu disuluh dari kacamata Islam itulah yang terbaik. Sebab manusia biasanya menilai keindahan berdasarkan nafsunya.
Di mana ada penderitaan, di situlah manusia akan menderita. Tetapi apabila penderitaan itu disuluh dengan iman. Di situlah keindahannya. Ia boleh kita fahamkan begini: Contohnya berjuang. Jika diniatkan kerana Allah, terlaksana atau tidak matlamat perjuangan itu, sudah ada keindahannya. Sebab syarat-syarat ibadah sudah ditempuhi. Cuma berjaya atau gagalnya usaha kita, itu adalah hak Allah.
Berbalik kepada poligami, wanita kalau dibiarkan pada fitrah asalnya yang penuh emosi itu, tidak dikawal dan dipandu tindakannya, akan sentiasa keterlaluan dalam hidupnya. Dia akan jadi wanita yang sangat pemboros dan membazir. Dia juga akan sangat meninggikan diri, angkuh dan sombong. Dia akan menzalim dalam tindakannya sama ada sedar atau tidak.

Soalan: Bagaimana mengawal isteri supaya tidak terkeluar dari landasan syariat supaya dia tetap menjadi wanita sederhana, yang zuhud, pemurah, tawaduk, dan penyayang? Agar hatinya selamat dari sifat-sifat jahat dan selamat dari tindakan liar yang menyusahkan suaminya?

Ustaz : Antara kaedah-kaedahnya ialah:
1. Beri ilmu tentang manusia yang baik dan manusia yang tidak baik, tentang nasib manusia di akhirat. Ilmu tentang nafsu yang baik dan nafsu jahat.Ilmu tentang cara bermujahadah dengan nafsu yang jahat dan syaitan yang sangat jahat. Ilmu ini semua terdapat dalam kitab tasauf.
2. Didik ibadahnya agar ibadah itu berbekas di hati dan didik akhlaknya dengan akhlak yang baik. Suami menjadikan dirinya sebagai role model.
3. Menghukum kesalahan isteri dengan berhikmah. Misalnya kalau isteri menyalahgunakan wang, hentikan pemberian wang kepadanya beberapa waktu. Kalau dia menghina orang, elok dia dihina secara yang dibenarkan oleh syariat. Supaya dia tahu sakitnya seseorang yang kena hina. Peraturan menghukum pula, mula dinasihat, kalau tidak berubah dipukul. Jika tetap tidak berubah, diasingkan tempat tidurnya. Akhir sekali didatangkan dua pihak di kalangan ketua keluarga untuk mengadili dan membaiki.
4. Poligami adalah kaedah didikan dan pimpinan yang paling berkesan bagi isteri. Perempuan yang disusahkan dengan poligami, yakni di hari-hari gilirannya, adalah seperti pesakit yang doktor arahkan supaya berpuasa sebagai ubat kepada penyakitnya. Tetapi puasa itu bukan berterusan. Sehari puasa sehari tidak. Kesakitan berpuasa dan kenikmatan berbuka yang dipergilirkan itu akan mengimbangkan perjalanan penghazaman supaya sentiasa seimbang dan normal, tidak keterlaluan.

Soalan:Bagaimana sebenarnya konsep keadilan dalam konteks poligami.?

Ustaz : Sebagai pemimpin kepada isteri-isterinya, seorang suami mesti adil. Adil dalam Islam meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil dalam konteks poligami adalah meletakkan isteri-isterinya pada tempat yang tepat dengan kelayakkannya. Adil dalam menyediakan keperluan isteri-isterinya dan adil dalam mendidik isteri-isterinya. Isteri tidak hanya diberikan nafkah lahir dan batin tetapi juga diberikan didikan dan pimpinan rohaniah. Suami juga mesti adil dalam memberikan giliran kepada isteri-isteri.
Pendidikan poligami yang menggilirkan susah dan senang; sebenarnya memandu wanita agar sentiasa menengah, tidak keterlaluan, kiri atau kanan. Isteri-isteri mesti diletakkan pada tempatnya supaya tidak rosak. Seseorang yang kemampuannya hanya setakat jadi suri rumah, usah dibawa ke dalam soal kemasyarakatan sekalipun suaminya orang besar. Sebaliknya seorang isteri yang boleh diketengahkan dalam soal-soal kebajikan masyarakat, jangan dikurung di rumah sahaja. Dia hendaklah digalakkan bergelanggang di luar dengan menurut syariat. Seseorang yang berwatak ayam hendaklah diletakkan di tempat yang sesuai, jangan disuruh jadi watak kambing. Inilah keadilan. Ayam dipaksa menjadi watak kambing adalah satu penzaliman, sekalipun si ayam meminta dan meronta ingin menjadi watak kambing. Begitulah keadilan ini.
Hanya orang yang benar-benar takut kepada Tuhan mampu berlaku adil. Bila Tuhan tidak ditakuti, bukan saja poligami, malah keluarga monogami sendiri pun boleh hancur.

Soalan: Apakah rahsia Ustaz berjaya meyatupadukan isteri-isteri?

Ustaz : Saya mengikat isteri-isteri saya kepada Tuhan, bukan kepada diri saya. Sebab, apa pun yang kita lakukan, asasnya ialah rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Jadi apabila timbul masalah dalam rumahtangga, saya akan menyuruh mereka memeriksa semula hubungan dengan Tuhan terutama soal sembahyang, mesti ada yang tidak beres. Itu saja rahsianya.
Sepertimana yang saya katakan, kalau tidak ada iman, bukan poligami saja yang bercerai-berai, monogami pun bercerai. Jadi, apa pun asasnya ialah iman. Apabila ada iman, berlakulah keadilan. Bila berlaku keadilan dalam rumahtangga itu, wujudlah kasih sayang, hormat-menghormati, berukhuwah dan sebagainya.
Apabila individu dalam keluarga itu diikat dengan cinta kepada Tuhan. Masing-masing redha-meredhai, wujud perpaduan dan keindahan. Apabila Tuhan yang direbutkan, suami harta dan dunia ini sudah menjadi kecil nilaiannya.
Sebab itu dalam rumah saya, sembahyang berjemaah itu saya tekankan. Disitulah rahsia perpaduan dalam rumahtangga sebenarnya. Disinilah perpaduan sebenarnya terbentuk. Sembahyang berjemaah adalah penghubung antara makhluk denga makhluk. Sembahyang mengikat hati-hati kita untuk mencintai Tuhan. Apabila Tuhan dicintai dan dibesarkan, senanglah untuk kita mencintai manusia lain. Senang untuk berkasih sayang, berukhuwah. Dengan lahirnya akhlak yang cantik ini, Allah sendiri akan mempertautkan hati-hati kita untuk mencintai makhluk-makhluk Allah yang lain.