Wednesday, January 3, 2007

RAHSIA PEMBENTUKKAN KELUARGA SUPER - 5

RAHSIA PEMBENTUKKAN KELUARGA SUPER

Mengapa Poligami

"Anakku ….
Ketahuilah, poligami adalah kasih sayang Tuhan pada wanita. Poligami adalah kecintaan Rasul pada umatnya. Poligami adalah kasih sayang ayahmu pada ibu sebenarnya. Dia berikan segala-gala yang ibu perlukan untuk jadi wanita besar di dunia dan Akhirat"

Buat anak-anakku semuanya, terutama dua orang anakandaku yang kini sedang menuntut di perantauan….

Anak-anakku,
Seperti mana ibumu ini, maka kamu juga, ibu yakin akan dipoligamikan. Oleh kerana hari ini konsep poligami begitu disalah ertikan maka biarlah ibu terangkan padamu mengapa Allah lakukannya untuk kita. Dan bapa kamulah orang yang bertanggungjawap memperjuangkan ini semua untuk kita.

Anak-anakku sayang,
Mendirikan rumahtangga ialah merancang masa depan bagi kehidupan yang sesempurna-sesempurnanya. Di dalamnya biarlah sebuah environment yang kita boleh dapat segala-gala yang kita perlukan, yang siapa pun saja yang lahir dan berada di sana pasti tumbuh dengan penuh kesuburan dan kesempurnaan. Kamu tahu anakku, manusia tumbuh tidak seperti pertumbuhan pokok yang hanya perlukan makanan fizikal semata-mata: cahaya matahari, air dan karbon dioksida. Kalau semua itu cukup, pokok akan subur sehingga melahirkan buah-buah yang sedap-sedap. Tapi tidak dengan manusia.
Kecukupan keperluan fizikal semata-mata tidak menjamin sama sekali manusia dapat membuahkan akhlak-akhlak yang mulia, yang akan memartabatkan kesedapan orang padanya. Manusia amat perlukan layanan mental dan roh yang cukup seimbang anakku.
Sudah ramai kita lihat bukan, manusia yang tidak dibelai rohnya, telah jadi jahat dari binatang. Lalu tidakkah kamu menganggap bahawa, kemiskinan fizikal sebenarnya tidaklah membawa akibat seteruk bilamana manusia dilanda kemiskinan jiwanya!

Anak-anak buah hati ibu,
Lalu dalam sebuah rumahtangga itu, ketuanya yang bijak tentu akan menyediakan zat-zat yang lengkap untuk roh, mentaldan fizikal. Kerana rumahtangga sebenarnya adalah sebuah institusi pembinaan insaniah yang paling asasi. Dia mesti dipersiapkan terbaik dan terlengkap daripada institusi-institusi lain. Ya, dengan kata lain kalau institusi pertanian sahaja mempunyai environment yang begitu complete dan sophisticated, peralatan canggih, pegawai-pegawai pakar yang begitu banyak dan ramai demi membina pokok-pokok, apa saja pendapatmu tentang institusi manusia ini? Ayahmu memilih untuk melahirkan kamu dalam institusi dunia dan akhirat. Di dalamnya dia menyediakan sekurang-kurangnya 10 dewan kuliah yang membekalkan kepada penghuninya sekurang-kurangnya 10 keperluan insaniah mereka.

1. Pengurusan dan pentadbiran
2. Persekolahan dan pendidikan
3. Peribadahan
4. Perpaduan dan Kasih sayang.
5. Pemakanan dan pakaian.
6. Kewangan dan Ekonomi
7. Kejiranan dan tetamu
8. Perhubungan Luar
9. Kepimpinan

Anak-anakku sayang,
Bapa adalah pemimpin dalam masyarakat kecil ini. Dia mesti dapatkan pegawai-pegawai pelaksana polisi kepimpinanannya yang mampu menerima arahannya dari masa ke masa. Dia sendiri tidak boleh fokus pada satu-satu tugas atau jawatan kerana dia mesti berwatak global
Kamu setuju tak kalau ibu katakan bahawa sebenarnya isterilah pelaksana yang setepat-tepat untuk seorang suami dalam rumahtangga? Tapi kalau seorang saja pelaksana itu, tentulah tidak sempurna bukan? Kesempurnaan yang sebenarnya ialah kalau ada 4 ibu: ibu A pegang bahagian pengurusan, pentadbiran dan kewangan. Ibu B bertanggungjawab tentang persekolahan, pendidikan, peribadahanan perpaduan serta kasih sayang. Ibu C tumpukan pada pemakanan, tempat tinggal, pakaian dan kebersihan. Ibu D ambil kerja-kerja melayan jiran, tetamu, hubungan dengan luar dan penjagaan kawasan dan lain-lain.

Anak-anakku,
Apa kamu tidak idamkan istana yang global ini? Tidak indahkah punya 4 ibu yang menyayangi dan bertanggungjawab ? Cacatkah rupanya institusi kelahiranmu ini kerana poligami ? Berdosakah bapamu kerana memberi ini pada 4 orang wanita dan berpuluh-puluh anaknya yang dilahirkan?

Wahai cahaya mata ayah bonda,
Ibu tahu kamu tanyakan tentang perasaan ibu kerana bapa menggilirkan kasih-kasih untuk isterinya. Oleh kerana di tempat pengajianmu, kamu tidak akan dapat jawapan bagi persoalan ini, biar ibu jawapan disini!
Sebenarnya salah faham umat Islam hari ini bukan saja tentang konsep poligami bahkan konsep sembahyang itu pun sudah jauh lari dari kebenarannya. Sembahyang yang begitu agung dilihat begitu kecil dan ketinggalan apalagi poligami ini dan hakikat hidup dan erti kasih sayang. Ada orang bertanya kepada Rasulullah: “Apakah tuan tidak sayang pada Aisyah wahai Rasul hingga dia dipoligamikan ?”
Perhatikan jawapan Rasulullah ini wahai anakku: “Bahkan ! poligami inilah tanda kasih sayangku padanya!”

Anakku,
Kasih sayang itu bukan kerana tidur bersama setiap malam. Tidak juga kerana semua kekayaan tidak dikongsi dengan orang lain. Kamu kan tahu tentang adanya suami isteri yang tiap-tiap hari bergaduh walhal meraka hanya berdua dan cukup kaya? Sebaliknya kamu yang lapan beradik terpaksa kongsi kasih ayah dan ibu, tak pernah persoalkan tentang kasih sayang ibu ayah! Rasanya cukup saja semuanya. Ingat tak waktu kamu baru ada 3 adik, selalu bertanya kenapa tak dapat adik lagi? Kami tak cukup 3 nak lagi ! Hingga sekarang sudah jadi lapan. Kalau campur adik-beradik daripada ibu yang lain, semua sudah berpuluh ! Adakah kamu merasa malang kerana punya ramai saudara mara? Tidak. Bukankah kamu bertuah kerana punya ramai manusia yang saling mencintai?

Anak-anakku,
Dunia sekarang cukup kagum dengan seorang wanita yang berjaya korbankan perasaan demi keluarga! Dan dunia pun sedang cukup marah dengan wanita yang mementingkan diri sendiri, sombong, tamak, hasad dengki, dendam kesumat dan gila dunia. Supaya mereka jadi ibu-ibu manusia yang benar-benar berwatak ibu, mementingkan orang lain, merendahkan diri, pemaaf, pemurah, berwatak Akhirat, berjuang di jalan Allah dan lain-lain. Berkongsi haknya, saling bantu-membantu dan merendah diri. Bukankah indah -indah semuanya anakku? Lalu kalau ayahmu menciptkan untuk ibumu environment yang begitu sekali, apa yang tidak kenanya? Dan salahkah ayahmu menemankan ibu dengan adik dan kakak yang saling bekerjasama untuk kesempurnaan rumahtangga kita? Sedangkan kalau ibu sendirian pun bukannya mampu melayan ayahmu yang global itu. Sepinya istana kita kalau ketiadaan insan-insan mulia seperti Ibu Satu, Ibu Dua dan Ibu Tiga. Masing-masing kami mengambil ¼ peranan. Ketiadaan seorang ibu bererti rumah kehilangan ¼ peranan. Ketiadaan seorang bererti ¼ . Ibu sendiri sangat dhaif untuk mengambil semua peranan-peranan itu, anakku. Kamu semua dibesarkan dalam suasana inilah. Sebuah institusi global yang menyediakan seluruh keperluan ukhrawi dan duniawi untukmu. Percayalah bahawa apa yang kamu ada ini, sesungguhnya tiada pada anak-anak lain. Kalau ada pun tidak sesempurna ini, anakku. Adalah kerana ayahmu itu punya cita-cita besar di muka bumi ini. Dia ingin meniru sejarah bagaimana umat Islam memperolehi kegemilangannya. Bagaimana Rasulullah dan sahabat melakukannya?
Jelas sejarah mengatakan ia bermula dari rumah tangga. Institusi keluarga adalah tapak perjuangan. Bermodalkan taqwa mereka mencabut mazmummah lalu dapatlah ukhuwah dan keselarasan membangunkan empayar keluarga.

Akhirnya Wahai Anakku,
Izikan ibu berkata begini. Bahawa Tuhan telah menjawap soalanku, mengapa dibenarkan lelaki beristeri lebih dari satu? Kerana Allah dan Rasul itu punya rancangan besar untuk orang-orang bertaqwa, supaya mereka mengasaskan sebuah etnik yang punyai kekuatan yang cukup untuk diwariskan muka bumi Tuhan ini kepadanya Allah berikan kepada mereka rezeki, ilmu, pengikut, strategi, jalan keluar dari masalah, kesihatan, akhlak dan teknologi dan lain-lain kekuatan. Bukankah Allah berjanji bahwa TAQWA adalah sumber bagi semua itu?

Janganlah kamu tidak percaya bahawa Allah ada cara untuk lakukan itu semuanya untuk orang yang benar-benar mendalam perasaan terhadap-Nya. Dengan anak yang ramai, kalau 5 orang dapat jadi pemimpin, 5 jadi pegawai tadbir, 5 jadi korporat, 5 jadi motivator, 5 ahli teknologi dan 5 jadi kerani, bukankah keluarga kita; atas satu cita-cita; akan menaungi bangsa untuk menjadi empayar?
Kita bukan saja berdaulat di kalangan kita tapi juga di merata dunia! Dan waktu itu ibumu ini akan tercatat namanya oleh penulis sejarah sebagai salah seorang wanita yang terlibat sama dalam kerja-kerja besar ini. Ikut membangun agama Allah di maya pada. Apakah ini kecil nilainya anakku?
Adakah yang lain lebih besar dari ini bagi seorang wanita yang mendapat kesempatan hidup di bumi Tuhan ini? Susah sangatkah mazmummah terkutuk itu hendak diperangi sedangkan tukarannya ialah penghargaan bertaraf dunia yang jadi tiruan dan rujukan bangsa-bangsa. Siti Hajar menghiasai Al Quran kerana pengorbanan kecilnya, bukan?

Anakku,
Ketahuilah, poligami adalah kasih sayang Tuhan pada wanita. Poligami adalah kecintaan Rasul pada umatnya. Poligami adalah kasih sayang ayahmu pada ibu sebenarnya. Dia berikan segala-galanya yang ibu perlukan untuk menjadi wanita besar di dunia dan akhirat. Ibu bangga kalau nanti kau juga dapat melakukan ini untuk, keluargamu, untuk suami dan anak-anakmu tercinta!

Sekian dari ibu bersama doa mendalam buatmu, agar diberi hidayah dan taufik oleh Tuhan. Menjadi srikandi memperjuangkan kebenaran Allah dan Rasul-Nya.

Amin Ya Allah.