Wednesday, January 3, 2007

RAHSIA PEMBENTUKKAN KELUARGA SUPER - 4

RAHSIA PEMBENTUKKAN KELUARGA SUPER

Eksklusif : Luahan hati isteri pertama

"Poligami: hadiah untuk suami….." - Kak Jah

Poligami bagi seorang wanita, ibarat hempedu. Tidak ada seorang wanita pun di dunia ini suka untuk dipoligamikan. Kerana itu ia dimomokkan, dijadikan bahan perli, sehingga syariat Allah ini terbiar dan terpinggir, tidak digembar-gemburkan sepertimana syariat-syariat Allah yang lain. Kerana ia satu isu yang sangat sensitif bagi wanita, maka kaum lelaki juga turut meminggirkan syariat Allah itu, dengan alasan, menjaga hati kaum wanita. Walaupun sunnahtullah tetap berlaku.
Biarpun poligami itu dipandang negatif, tetapi tidak menghalang sama sekali kaum lelaki untuk berpoligami. Sama ada isteri pertama memberi izin atau tidak, sekiranya lelaki tetap bertegas untuk berbuat demikian, ia tetap akan berlaku. Tidak berlaku secara rasmi berlaku secara tersembunyi.
Biasanya yang tersembunyi itulah yang paling merbahaya. Apabila terbongkar, banyak masalah-masalah lain kan timbul. Boleh jadi keluarga berpecah-belah, boleh jadi berperang, dan tidak kurang juga ada yang bercerai-berai kerana bahang poligami itu sangat panasnya, menghancurluluhkan hati-hati kerana tidak menyangka sama sekali bahang itu akhirnya mengena diri mereka sendiri.
Jadi apakah persediaan kita, sekiranya hal-hal yang tidak disangka begini, berlaku pada kita? Bagaimanakah kaedah yang tepat untuk menanganinya? Wajarkah wanita menentang poligami, walhal ia juga syariat dari Tuhan. Bagaimana mungkin seorang mukmin itu mengambil setengah syariat, tetapi dalam masa yang sama meminggirkan syariat Allah yang lain? Sesuatu yang terpinggir dan tidak diambil peduli sekian lama itu, perlu dibongkar kembali, mesti diberi tafsiran baru, mesti diketengahkan sama seperti syariat Allah yang lain. Ikutilah temubual eksklusif dengan Ustazah , yang juga merupakan isteri pertama. Bagaimana beliau berjaya menangani isu poligami ini secara berhikmah, tanpa mencatatkan hati mana-mana pihak sekaligus menaikkan martabat poligami ke suatu tahap boleh merasai indahnya hidup berpoligami. Sehingga ujian kepahitan itu dianggap satu nikmat.
Kak Jah, begitulah nama panggilan yang telah sebati baginya. Orangnya sangat peramah, mudah mesra dengan sesiapa sahaja., tanpa mengira orang lama atau orang yang baru dikenal. Melihat wajahnya sahaja, dengan gelak tawanya yang manis, hati terasa sejuk walaupun tajuk yang akan diutarakan sangat 'berat'
"Perasaan?" Itulah pertanyaan pertamanya apabila diajukan persoalan mengenai poligami. Dengan senyuman manis, beliau menjawab, "Kak Jah, apabila diberitahu akan dipoligamikan, memanglah timbul perasaan cemas dan bimbang. Maklumlah wanita mana yang suka dipoligamikan. Cuma apabila mengenangkan inilah jalan pintas untuk wanita mendapatkan cinta Tuhan. Kak Jah kuatkan hati dan cuba menerimanya dengan rasa redha dan syukur. Syukur kerana Tuhan memberi peluang Kak Jah menempuh jalan ini.
"Lebih-lebih lagi ilmu mengenai poligami ini dah banyak Kak Jah pelajari. Kak Jah bersyukur kerana Kak Jah ada guru yang tidak pernah jemu mendidik serta memberi panduan-panduan. Jadi, Kak Jah terima poligami atas dasar perjuangan, untuk meningkatkan taqwa, untuk meningkatkan taqwa di sisi Allah, hendak tak hendak inilah jalan pintas menuju taqwa. Jalan ini merupakan laluan biasa para isteri salafussoleh. Inilah gelanggang pertarungan antara malaikat dengan iblis dan syaitan. Gelanggang ujian bagi iman dan taqwa, gelanggang sabar, gelanggang redha, gelanggang tawakal dan gelanggang peningkatan. Terpulanglah kepada kita, ingin menjejaki jalan ini, atau beredar sahaja. Dengan erti kata kalah sebelum bertarung. "Begitulah muqaddimah Kak Jah untuk sessi temubual ini.
"Kak Jah bersyukur, Allah memilih Kak Jah untuk tugas berat ini. Rupa-rupanya Tuhan memberi perhatian kepada Kak Jah. Sebab itu diuji dengan jalan ini. Ujian peningkatan taqwa. Bagaimanakah yang dikatakan 'peningkatan'? Peningkatan ini berdasarkan bagaimana kita nak 'maintain' perasaan kita terhadap suami. Dalam masa yang sama, tidak menjejaskan sangka baik kita dengan Tuhan terhadap atas ujian ini. Kalau dulu kita berdua dengan suami, sekarang kita terpaksa berkongsi suami dengan orang lain. Itulah persoalan umum kaum wanita yang menghadapi konflik poligami. Bagaimana nak 'maintain' kasih sayang terhadap suami, dalam masa yang sama kita dibayangi oleh perhatian dan kasih sayangnya terhadap wanita lain. Memang susah nak 'maintain' perasaan-perasaan ini. Sifat sabar terhadap suami, sifat baik sangka, sifat taat, tenang seperti dahulu, sebelum berpoligami. Lebih-lebih lagi apabila datang bayangan mengenai malam-malam giliran suami dengan madu kita. Itulah dinamakan 'pertarungan', kata Kak Jah lagi.
"Apabila datang perasaan-perasaan negatif sebegini, Kak Jah anggap inilah didikan Tuhan supaya gunakan masa ini untuk melebihkan munajat kepada Tuhan. Inilah masa kita mendekatkan diri dengan Tuhan. Mengadu dengannya:"Wahai Tuhan, bukankah Engkau Maha Bijak ?". Engkaulah yang memilih aku untuk masuk ke dalam gelanggang ini, kerana itu Engkaulah yang akan mendidik aku untuk memperbanyakkan sabar. Mudah-mudahan jambatan menuju taqwa ini tidak menghalang untuk aku sampai ke matlamat-Mu. Semoga payung emas yang Kau sediakan itu dapat memayungi aku di akhirat nanti. Apakah anugerah sebesar ini mesti aku persia-siakan begitu sahaja? Apakah simpati, perhatian dan kasih sayang ini tidak aku hargai sebaik-baiknya? Sedangkan ujian peningkatan ini, jika lulus. Syurgalah yang layak bagiku. Apakah tukaran semahal ini tergamak aku menolaknya? Bukankah hati mukmin itu sentiasa diuji ? Lagipun suami itu bukan milik kita. Ia milik Allah. Kalau milik Allah, terpulanglah kepada Allah untuk meng'hadiah'kan kepada sesiapa sahaja yang dirasakan layak. Apakah hak kita sebagai hamba untuk menyoal kerja Tuhan?".
Sememangnya Kak Jah seorang yang praktikal. Apa pun hadiah Tuhan selepas ini, dia pasrah. Sebab dia yakin Tuhan akan membelanya. Dia tidak keseorangan. Ada teman sejati iaitu Tuhan, yang membelanya.
Lebih menakjubkan tentang diri Kak Jah ini , sebaik saja suaminya berkahwin, beliau turut sama dalam rombongan pengantin menghantar suaminya ke rumah pengantin perempuan. Beliau mengucapkan tahniah dan memberi hadiah untuk kedua-dua mempelai.
Selepas itu bermulalah era baru bagi keluarganya. Beliau bersama madunya belajar hidup serumah "Bermulalah era pertarungan yang sebenarnya dalam bentuk praktikal. Alhamdulillah, berkat suami yang baik, anak dapat seorang lagi ibu dalam keluarga itu. Masing-masing diberi faham mengenai situasi baru tersebut dan bagaimana membentuk keluarga ke arah sebuah rumahtangga yang mampu menjadi model kepada masyarakat.
Sampai sekarang tidak ada persengketaan di antara mereka. Madu umpama kawan rapat, tempat mengadu, menagih kasih, saling hormat-menghormati, saling berkongsi masalah, saling mengenali peribadi masing-masing. Berjemaah bersama, memasak bersama-sama.
"Bukankah indah kehidupan begini? Adakah berlaku keindahan begini dalam keluarga monogami? Saya yakin tidak semua".
Apakah rahsia Kak Jah mengekalkan keharmonian dalam rumahtangganya sehingga tidak berlaku sebarang pergeseran atau saling bersenget-senget hati di antara anggota keluarga dalam rumah itu? Sebab kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula persoalan hati, persoalan dengan madu.
"Rahsianya mudah saja. Tak ramai yang mampu buat!" kata Kak Jah, masih tetap senyum dan ramah. "Jadikan Tuhan cinta agung. Jadikan dia teman setia lagi membela. Apabila Tuhan dikenal dan dipuja, segala masalah, kita pulangkan pada-Nya. Dia memberi kekuatan pada roh, kerana itu roh tidak tergugat dengan masalah-masalah fizikal. Kalau selama ini kita sangka baik pada Tuhan, tiba-tiba apabila kita diuji dengan poligami, jangan pula keyakinan kita pada Tuhan tercabut. Sedangkan poligami itu kan syariat Tuhan juga. Mengapa syariat lain kita boleh terima, tetapi poligami tidak?
"Sebagai contoh, kita menanam pokok. Kita taburkannya dengan benih iman. Kita sirami dia setiap hari dengan kasih sayang, wirid dan zikir, sehingga pokok itu tumbuh subur, rimbun dan berdaun. Tiba-tiba datang ribut taufan menggoncang pokok tersebut hingga ke akar umbinya. Sanggupkah kita membiarkan pokok diterbangkan oleh ribut taufan itu sedangkan sudah sekian lama pokok itu kita jaga sehingga subur merimbun, tiba-tiba hendak dibiarkan tercabut begitu saja di sebabkan ribut taufan yang berlaku itu? Tentu tidak sama sekali. Jadi begitulah iman kita. Turun naiknya iman setiap kali ditimpa ujian, pulangkan kembali kepada Tuhan. Biar Tuhan menanganinya. Sebab ujian itu pun Tuhan yang datangkan. Pandailah Dia menyelesaikannya. Tetapi jangan biarkan iman tergadai disebabkan ujian yang menimpa. Bila itu dapat dipraktikkan dalam kehidupan kita, ujian kepahitan pun dapat kita anggap nikmat. Begitu juga poligami. Bila kita dapat anggapnya sebagai hadiah kita untuk suami, barulah 'kembara' itu ada keindahannya."
Begitu panjang lebar luahan rasa hati Kak Jah mengenai topik yang paling 'sensasi' ini. Semoga rahsia pengalaman yang baik ini dapat kita kongsi bersama.