Wednesday, January 3, 2007

Rahsia Pembentukkan Keluarga Super - 1

RAHSIA PEMBENTUKKAN KELUARGA SUPER

Poligami Terancang & Terpimpin Asas Pembinaan Empayar

Poligami, walaupun wujud dalam Islam tetapi adalah suatu perkara yang sangat terasing dan terpinggir. Seolah-olah ianya tidak wujud dalam ajaran Islam. Sesiapa yang mengamalkannya dianggap satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan, dipandang serong dan dimusuhi.
Terpinggirnya amalan poligami ini bukan bermakna satu kelemahan. Malah ia merupakan satu kekuatan. Sebenarnya watak atau sikap sesuatu bangsa yang akan bangun itu asalnya terpinggir dahulu. Kalau kita lihat dalam sejarah, bangsa - bangsa yang akan menjadi empayar bukanlah bangsa yang bilangannya besar, tetapi bangsa yang kecil jumlahnya atau etnik yang kecil. Tapi ia dapat memiliki satu - satu sifat yang sangat kuat, sama ada semulajadinya begitu atau melalui hasil didikan. Contohnya bangsa Arab. Bangsanya ramai, di dalamnya bermacam-macam etnik, tapi tidak ada keistimewaan. Mereka tidak tahu menulis, tidak tahu membaca dan tidak ada ilmu. Hanya memikirkan hidup bersama kambing-kambing.
Rasa kasih sayang sesama bangsa Arab tidak wujud, sedangkan kasih sayang itu adalah suatu yang besar. Yang ada pada mereka hanyalah sifat bengis, maka berlakulah permusuhan dan pergaduhan antara bani-bani.
Tapi apabila datang Rasulullah SAW, baginda berjaya menukar watak bangsa tersebut. Di antaranya ialah menanamkan sifat berkasih-sayang sesama insan yang seterusnya melahirkan perpaduan. Akhirnya bangsa tersebut muncul menjadi empayar. Tetapi yang berjaya menjadi empayar itu bukannya seluruh bangsa Arab. Tuhan memilih di kalangan bangsa Arab itu satu etnik yang menjadi tunjangnya iaitu Quraisy. Jadi bangsa Quraisy inilah yang berjaya dididik dengan cepat hingga bertukar wataknya hasil didikan dan pimpinan Rasulullah. Bila ia menjadi kuat, maka bangsanya yang menaungi semua etnik-etnik Arab yang lain. Akhirnya bangsa Arab muncul sebagai pembangun empayar.
Contoh lain, di waktu umat Arab sudah lemah, datangnya suatu puak yang kecil sahaja, iaitu puak Kurdi yang di pimpin oleh Salehuddin Al Ayubi. Pada etnik itu ada sifat besar yang boleh memberikan kekuatan pada bangsa itu, iaitu ketaatannya pada pemimpin. Akhirnya bangsa Arab dapat dibela semula oleh satu puak yang asalnya hanyalah kecil dan terpinggir.
Sebagai contoh yang lain, Turki merupakan satu bangsa yang di dalamnya terdapat bermacam-macam etnik. Diantaranya etnik Saljuk dan etnik Usmaniyah. Bani Usmaniah ini berasal dari hulu. Pemimpinnya hanyalah merupakan ketua kampung sahaja. Tapi Tuhan menganugerahkannya beberapa sifat yang mencabar, yang sangat memberikan kekuatan pada kelompok kecil ini, iaitu :
1. Berani
2. Berpadu
3. Sangat mentaati pemimpin
Dengan kekuatan-kekuatan inilah mereka yang asalnya duduk di hulu, ketuanya hanyalah ketua kampung, akhirnya berjaya menguasai sebuah empayar Utmaniah di Turki. Demikianlah caranya terbangunnnya bani-bani Usmaniyah, Abbasiyah, Fatimiyah dan lain-lain, sehingga masing-masing berjaya membangunkan empayarnya sendiri dan boleh menguasai serta membangunkan Islam hingga akhirnya kegemilangan Islam diperolehi di tangan mereka.
Begitulah di akhir zaman, walaupun umat Islam ramai, tetapi banyak amalan Islam yang telah terpinggir, terutamanya poligami. Orang yang benar-benar hendak mengamalkan syariat Islam dalam kehidupannya dipandang ganjil dan aneh. Tepat sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Islam itu asalnya dagang dan akan kembali dagang" Jadi, Di zaman ini kebangkitan Islam kali kedua ini, kalau ada segolongan umat Islam yang mampu memperjuangkan syariat Tuhan yang telah terpinggir, terutamanya poligami, maka tidak mustahil golongan itu bakal diserahkan empayar oleh Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa.
Ini kerana memperjuangkan poligami sepertimana yang dikehendaki oleh Tuhan, bukan satu perkara mudah. Sedikit saja bilangannya yang berjaya dalam rumahtangga poligami. Golongan yang sedikit itu ialah golongan yang bertaqwa. Hanya taqwa membolehkan seseorang itu berlaku adil terhadap dirinya dan keluarganya.
Golongan ini bilangannya sedikit, tapi kuat. Kuat itu bukan diukur dari segi kekuatan fizikal. Tapi kuat keyakinannya, kemahuan, kegigihan, kesabaran, ibadah, akhlak, kepimpinan dan minda, yang mana gabungan kesemua kekuatan ini akan melahirkan peribadi-peribadi super yang agung. Kekuatan mereka adalah bertunjangkan kemantapan taqwa.
Gabungan peribadi agung ini akan melahirkan satu bangsa yang agung yang dinaungi oleh Tuhan yang Maha Agung. Akhirnya bangsa inilah yang akan menerajui sebuah empayar di mana orang lain dapat menumpang sama.
Apa kaitannya pulanya dengan poligami? Poligami merupakan gelanggang ujian kepimpinan, kesabaran, mujahadah, keadilan serta kejayaannya berteraskan kemantapan keyakinan, minda, ibadah, serta matlamat yang jelas dan tepat yang menjurus kepada mendapatkan redha Tuhan.
Oleh itu seseorang yang berjaya melalui ujian dan cabaran poligami, yang sememangnya sulit dan sukar, baik kepada isteri mahupun suami, maka untuk memiliki kekuatan yang lain akan jadi lebih mudah.
Ujian kepimpinan sebenarnya bermula di rumah, Seorang suami yang berjaya mendidik serta memimpin isteri-isteri serta anak-anaknya di rumah., bererti ia telah berjaya menjadikan rumah sebagai platform mengasah kepimpinan.
Kekuatan paling menonjol dan terpenting dalam melaksanakan poligami ialah apabila seseorang itu mampu menyatukan empat orang wanita dan hidup dalam penuh aman damai, berkasih sayang, bersatu-padu, serta berkerjasama dalam merebut cinta Tuhan. Betapa indah dan bahagianya rumahtangga ini.
Kekuatan inilah yang sudah tidak ada pada masyarakat mahupun mana-mana pemimpin di dunia hari ini. Malah untuk mempimpin satu isteri dan beberapa orang anak pun masih banyak yang gagal.
Oleh itu andainya terdapat seorang pemimpin yang terbukti berjaya dalam memimpin keluarga berpoligami, malah menjadi model seta ikutan kepada pengikut-pengikutnya yang mana akhirnya tercetus satu masyarakat yang berjaya membuktikan keindahan syariat Tuhan dalam poligami, maka sudah tentulah etnik ini mempunyai satu kekuatan yang luar biasa. Jika ujian sebesar itu pun mampu diatasi dengan berjaya, maka hal-hal lain akan menjadi mudah bagi mereka.
Oleh kerana kebangkitan Islam kali kedua ini paling besar, sama besarnya dengan zaman pertama, maka kekuatan yang dibawa bersama poligami yang terancang dan terpimpin adalah cukup besar. Bila poligami berjaya dilaksanakan, kekuatan-kekuatan lain akan mengikut sama. Seluruh kekuatan lain sangat ditentukan oleh faktor berjayanya poligami sama ada dari sudut kasih sayang, perpaduan dan lain-lain berasakan kekuatan taqwa dia tidak boleh berjaya dalam poligami ini.
Setelah etnik ini berjaya mendapat kekuatan taqwa melalui poligami, maka hanya perlu ditambah dengan kekuatan-kekuatan lain seperti kekuatan strategi, kepimpinan, kewangan dan lain-lain. Sebab kalau tidak ada duit, bagaimana untuk menjayakan 'masterplan' yang besar ini. Apabila semua kekuatan telah terlonggok di situ, maka tidak hairanlah jika Tuhan memilihnya untuk menaungi dunia satu hari kelak, InsyaAllah.